Halaman

Khamis, 4 Julai 2013

Presiden Mursi ikrar mempertahankan jawatan

Presiden Mesir, Mohammed Mursi, hari ini dengan tegas berikrar untuk mempertahankan jawatannya sebagai pemimpin negara ini, yang dipilih secara sah serta akan mempertahankan Perlembagaan dengan nyawanya.

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen tengah malam tadi, Mursi memberi amaran sebarang tindakan melanggar proses demokrasi yang dilaksanakan melalui pilihan raya pada tahun lepas, akan membawa Mesir ke kancah bahaya.

“Harga mempertahankan kesahihan demokrasi adalah nyawa saya. Kesahihan ini merupakan jaminan untuk mempertahankan negara," katanya dalam ucapan selama 45 minit tersebut.
Beliau berkata demikian ketika beribu-ribu penunjuk perasaan berkumpul di seluruh negara masuk hari ketiga bagi mendesaknya meletakkan jawatan.
Penyokong Mursi turut mengadakan perhimpunan sehingga menyebabkan berlakunya pertempuran dengan penunjuk perasaan anti kerajaan, yang menyaksikan 16 orang maut setakat ini dan beratus-ratus lagi cedera di Universiti Kaherah di sini.
Ketua Tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, kelmarin memberi Mursi tempoh 48 jam untuk memenuhi permintaan penunjuk perasaan, sebelum pihak tentera campur tangan dalam rusuhan tersebut.

Walaupun tidak merujuk secara langsung tentang kata dua yang diberikan oleh Abdel Fattah dalam ucapannya itu, namun Mursi dalam satu mesej yang diposkan dalam akaun Twitternya meminta pihak tentera menarik balik kenyataan tersebut.
“Mursi menegaskan tentang kesahihan jawatannya di sisi Perlembagaan dan menolak sebarang cubaan untuk melanggarnya.

“Tentera digesa menarik balik amaran mereka dan menolak sebarang tindakan mengikut pengaruh dari dalam atau luar negara," kata mesej itu. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130704/lu_05/Mursi-ikrar-pertahan-jawatan#ixzz2Y3qVWp8K
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan